Perang Dunia II HMCS Haida

Pada 10 Januari 1944, Haida ditugaskan dengan Flotilla Ke-10 Kapal Pembinasa berpangkalan di Plymouth, England. Dalam rondaan yang dijalankan oleh kapal di Selat Inggeris dan di Teluk Biscay, Haida menenggelamkan 14 buah kapal musuh. Sebaik tiba di Plymouth, Haida menjalankan rondaan dalam sapuan “Operasi Tunnel” yang bertujuan mencari dan memusnahkan kapal-kapal Kriegsmarine yang berpangkalan di pelabuhan-pelabuhan sekitar Teluk Biscay. Pada 25 dan 26 April, Haida mengalami kerosakan dalam pertembungan dengan kapal Jerman T-29 Elbing. Walaupun mengalami kerosakan, Haida terus menyerang dan berjaya menenggelamkan kapal tersebut.

“Operasi Hostile” dijalankan bermula 28 April 1944 bersama-sama kapal pembinasa HMCS Athabaskan, juga sebuah kapal kelas Tribal. Flotilla Ke-10 bertembung dengan satu kumpulan kapal Jerman dan dengan pantas berpecah-pecah menjadi kumpulan-kumpulan kapal yang mengejar kapal-kapal Jerman secara individu. Semasa HMCS Athabaskan bersedia untuk memintas kapal Elbing, HMCS Athabaskan terkena tembakan torpedo dan terbakar. Api merebak dengan cepat walaupun pasukan kawalan kebakaran cuba mengawal kebakaran. HMCS Athabaskan ditinggalkan oleh anak-anak kapal dan tenggelam. Hanya 44 orang terselamat, 128 yang lain hilang (83 menjadi tawanan perang). Haida membalas dendam dengan menembak Elbing bertubi-tubi sehingga terbakar dengan teruk. Keesokan harinya, Elbing diserang oleh kapal terbang Beaufighter dan dimusnahkan.

Haida dan HMCS Huron meneruskan “Operasi Hostile” sehinggalah penaklukan Normandy pada 6 Jun 1944. Pada 8 Jun, Haida kembali meronda di kawasan Teluk Biscay dan menenggelamkan kapal pembinasa Jerman ZH1 dan Z32. pada 24 Jun, kapal selam U-971 pula menjadi mangsa Haida.

Pada 15 Julai, Haida dan sekumpulan kapal pembinasa lain memintas satu kumpulan kapal Jerman di muara Sungai Lorient. Dalam pertempuran yang berikutan, Haida memusnahkan dua buah kapal penunda antikapal selam UJ1420 and UJ1421, bersama-sama sebuah kapal dagang. Dua buah kapal yang lain terbakar dan sedang tenggelam.

Pada 5 Ogos, Haida bertembung dengan kumpulan kapal Jerman yang lain. Haida terkena tembakan menyebabkan “Y” turet terbakar. 2 orang anak kapal terbunuh dan 8 yang lain cedera. Turet “A” juga rosak akibat terkena tembakan musuh. Pada 22 September, selepas dibaiki, Haida belayar menuju Halifax untuk ditugaskan semula di perairan Kanada.

Pada pertengahan bukan Januari 1945, Haida kembali ke Scapa Flow dengan kelengkapan radar yang baru. Sehingga bulan Mac 1945, Haida bergegas mentauliahkan penggunaan radar barunya. Selepas itu Haida bersama-sama memasang periuk api di Norway dan pada 28 Mac menyerang perkapalan musuh di kawasan Trondheim. Pada 7 April 1945, Haida bersama-sama 6 buah kapal antikapal selam yang lain belayar menuju Rusia dan bersama-sama mengiringi konvoi JW66. Semasa di Rusia, Jerman menyerah kalah. Haida kembali ke Kanada untuk persiapan penugasan di medan perang di Pasifik. Semasa pengubahsuaian dibuat, Jepun pula menyerah kalah, dan kerja-kerja pengubahsuaian dihentikan.

Berkaitan